بسم الله الرحمن الرحيم
Dari Abul-Laits Assamarqandi berkata:
“Aku mendengar ayahku bercerita: Pada suatu hari, di kalangan Bani Israil ada seorang wanita pelacur yang paling cantik. Dia selalu duduk di atas tilam di dalam rumahnya dan rumahnya itu selalu dibuka pintunya sehingga tiap orang yang berjalan di muka pintu itu akan tertarik dengan kecantikannya dan sesiapa yang hendak masuk harus membayar 10 dirham.
Maka pada suatu hari, lalulah seorang abid di depan pintu wanitu tersebut. Apabila dia terpandang wanita tersebut yang sedang duduk di atas tilam, maka dia sangat tertarik kepada wanita itu. Tetapi dia tetap berdoa semoga Allah menghilangkan perasaan yang tidak dapat dikawalnya.
Oleh kerana dia tidak dapat mengawal perasaannya, maka dia berusaha mendapatkan wang sehingga dia terpaksa menjual beberapa helai kainnya.
Apabila terkumpul wang tersebut, maka si abid pun pergi menyerahkan wang kepada wanita itu tetapi pelacur tersebut menyuruh dia menyerahkan wang tersebut kepada wakilnya dengan janji supaya dia datang pada waktu yang ditentukan.
Tepat pada waktunya, si abid itu datang sedang wanita itu telah berhias dan duduk menantikannya di atas tilamnya. Maka masuklah si abid itu dan duduk bersama wanita itu di atas tilam dan ketika si abid itu menghulurkan tangan pada wanita itu, maka teringatlah dia akan Allah melihat perbuatan hambaNya itu.
Maka gementarlah seluruh anggotanya sebab perbuatan yang terkutuk itu akan menggugurkan segala amal ibadatnya yang lalu. Maka ditanya oleh wanita itu, “Mengapakah muka kamu tiba-tiba berubah? Mengapakah dengan kamu?” Maka jawab abid itu, “Aku takut kepada Allah. Kerana itu izinkan aku keluar dari sini!” Maka berkata wanita itu, “Belum pernahkah kamu membuat perkara ini sebelum ini?” Jawab si abid, “Belum pernah.”
Maka semenjak dari peristiwa itu, wanita tersebut menutup pintu rumahnya dan bertaubat kepada Allah S.W.T. sambil berbuat ibadat. Kemudian timbul dalam hatinya, “Baik aku pergi ke rumah orang abid itu, kalau-kalau dia mahu berkahwin dengan aku dan dapatlah aku belajar agama daripadanya.” Lalu bersiap-siaplah dia membawa harta dan hambanya sehingga dia sampai pada dusun si abid itu.
Apabila abid mendapat tahu ada seorang wanita hendak menemuinya, maka keluarlah dia untuk menemui tamunya dan apabila wanita itu melihat si abid maka segeralah dia membuka tudung mukanya supaya si abid itudapat mengenalnya. Tetapi apabila si abid melihat wanita itu maka teringatlah perkara silam. Tidak semena-mena, menjeritlah dia sekuat-kuatnya sehingga dia mati di situ.
Wanita itu merasa sangat sedih dan berkata, “Aku datang ke mari semata-mata kerananya. Sekarang dia sudah mati. Adakah kaum keluarganya yang sanggup berkahwin denganku?”
Jawab orang yang ada di situ, “Ada, dia ada seorang saudara yang soleh tetapi tidak mempunyai apa-apa dan sangat miskin.”
Maka berkata wanita itu, “Tidak mengapa sebab aku ada harta yang mencukupi.”
Lalu wanita itupun berkahwin dengan saudara si abid sehingga mendapat tujuh orang anak laki-laki yang mana kesemuanya menjadi nabi-nabi Bani Israil. Wallahu A’lam.”