Hadis Sahih Bukhari berkaitan Haid


بسم الله الرحمن الرحيم



Hadis Sahih Bukhari No. 0186 Jilid 1 Topik adalah Haid

186. Cerita dari 'Aisyah, katanya: Kami berangkat,tiada lain sengaja kami selain dari mengerjakan haji. Setelah kami sampai di Syarif, saya haid. Rasulullah saw. datang kepada ku padahal aku sedang menangis. Lalu beliau bertanya: "Kenapa engkau menangis. Haidkah engkau?" Jawab ku, "Betul!" Sabdanya, "Sesungguhnya haid itu, adalah suatu perkara yang telah ditetapkan Allah swt. atas kaum wanita anak cucu Adam. Maka lakukanlah apa yang dilakukan orang haji selain tawaf keliling Kaabah." 'Aisyah menambahkan, "Setelah itu Rasulullah berkorban untuk para isteri beliau dengan menyembelih lembu."

Hadis Sahih Bukhari No. 0187 Jilid 1 Topik adalah Haid

187. Cerita dari 'Urwah bahawa dia ditanya orang: "Bolehkah wanita haid melayani ku, dan bolehkah wanita junub mendekati ku?" Jawab 'Urwah, Semuanya boleh bagi ku. Semuanya boleh melayani ku dan tiada celanya. 'Aisyah menceritakan kepada ku, dia pernah menyikat rambut Rasulullah saw. ketika dia sedang haid. Pada hal ketika itu Rasulullah sedang iktikaf di masjid. Maka didekatkannya kepalanya kepada Aisyah yang sedang berada di dalam biliknya, lalu 'Aisyah menyikat rambut Rasulullah pada hal dia sedang haid."

Hadis Sahih Bukhari No. 0188 Jilid 1 Topik adalah Haid

188. 'Aisyah menceritakan, katanya: "Rasulullah saw. bersandar keribaanku padahal ketika itu aku sedang haid; sesudah itu beliau membaca Quran."

Hadis Sahih Bukhari No. 0189 Jilid 1 Topik adalah Haid

189. Ummu Salamah bercerita, katanya: "Pada suatu ketika aku tidur bersama Nabi saw. di bawah satu selimut kain bulu. Tiba-tiba aku haid, lalu aku menjauhkan diri dari Nabi dan mengambil kain haidku. Nabi saw. bertanya, "Haidkah engkau?" Jawab ku, "Betul!" Lalu aku dipanggilnya dan tidur kembali bersama-sama dengan beliau di bawah selimut itu.

Hadis Sahih Bukhari No. 0190 Jilid 1 Topik adalah Haid

190. Cerita dari 'Aisyah, katanya: "Aisyah pernah mandi bersama Rasulullah saw. dari satu bejana, padahal kami berdua dalam keadaan junub. Pernah juga aku disuruhnya memakai sarung, lalu beliau mencumbu ku, padahal aku sedang haid. Dan pernah pula beliau mengulurkan kepalanya kepada ku dari dalam masjid ketika beliau sedang iktikaf, lalu ku bersihkan kepalanya itu padahal aku sedang haid."

Hadis Sahih Bukhari No. 0191 Jilid 1 Topik adalah Haid

191. Cerita dari 'Aisyah, katanya: "Apabila salah seorang kami (para isteri Nabi saw.) sedang haid, padahal Rasulullah saw. hendak bercumbu dengannya, maka disuruhnya isterinya itu memakai sarung, sesudah itu beliau mencumbunya. 'Aisyah menambahkan, "Siapakah di antara kamu yang sanggup mengendalikan nafsunya sebagaimana Rasulullah saw. sanggup mengendalikannya?"

Hadis Sahih Bukhari No. 0192 Jilid 1 Topik adalah Haid

192. Abu Said al Khudri bercerita, katanya: "Pada hari raya Idul Adha atau hari raya Idul Fitri, Rasulullah saw. keluar rumah pergi ke tempat solat. Beliau lalu ke tempat kaum wanita solat dan di situ beliau bersabda: "Hai, kaum wanita! Bersedekahlah kamu sekalian. kerana saya melihat, kaum wanitalah yang terbanyak di antara penduduk neraka. Mereka bertanya, "Sebab apa, ya, Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw., "kerana kamu sekalian banyak mencerca orang dan engkar kepada suami. Saya tidak melihat di antara orang-orang yang kurang akal dan agamanya, yang lebih merosakkan hati laki-laki yang cermat, selain daripada kamu sekalian." Tanya mereka,"Kurang bagaimanakah akal dan agama kami,ya,Rasulullah?" Jawab Nabi,"Bukankah kesaksian kaum wanita seperdua kesaksian kaum lelaki?" Kata mereka,"Betul!" Jawab Nabi."Itulah salah satu bukti bahawa akalnya kurang. Bukankah apabila wanita itu haid, dia tidak solat dan tidak pula puasa?" Jawab mereka,"Betul!" Sabda Nabi saw. "Itulah salah satu bukti bahawa agama mereka kurang."

Hadis Sahih Bukhari No. 0193 Jilid 1 Topik adalah Haid

193. Cerita dari 'Aisyah,katanya: "Fatimah binti Abu Hubaisy bertanya kepada Rasulullah saw., katanya:"Ya,Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak pernah suci. Apakah aku harus meninggalkan solat selamanya?" Jawab Rasulullah saw.,"Sesungguhnya yang demikian itu adalah darah yang keluar dari pembuluh darah, bukan darah haid. Maka apabila yang keluar itu darah haid, berhentilah anda solat selama haid, dan apabila masa haid itu telah habis, sucikanlah tubuhmu dan setelah itu solatlah anda kembali."

Hadis Sahih Bukhari No. 0194 Jilid 1 Topik adalah Haid

194. Cerita dari Asma' binti Abu Bakar, katanya:"Seorang wanita bertanya kepada Rasulullah saw., katanya,"Ya, Rasulullah! Bagaimanakah caranya apabila pakaian kami kena darah haid, apakah yang harus kami perbuat." Jawab Rasulullah,"Apabila pakaianmu kena darah haid, kopeklah darah itu kemudian bersihkan dengan air, dan setelah itu anda boleh solat memakai pakaian anda itu."

Hadis Sahih Bukhari No. 0195 Jilid 1 Topik adalah Haid

195. Cerita dari 'aisyah,katanya:"Salah seorang isteri Rasulullah saw. iktikaf bersama Rasulullah. Tiba-tiba ia melihat darah kuning keluar dari kemaluannya, dan dia meletakkan sebuah bejana di bawahnya, padahal ia sedang solat."

Hadis Sahih Bukhari No. 0196 Jilid 1 Topik adalah Haid

196. 'Aisyah menceritakan,"Aku ihram bersama Rasulullah saw. pada haji wada'" maka aku termasuk orang-orang yang mengerjakan haji tamatuk dan tidak membawa hadya. Tiba-tiba aku haid dan belum juga suci sampai malam Arafah. Maka berkata ' Aisyah kepada Nabi saw., "Ya, Rasulullah! Malam ini malam 'Arafah; padahal aku umrah." Jawab Nabi saw., "Bukalah sanggulmu, kemudian bersikat dan berhentilah umrah." Kata ' Aisyah, "Apa yang disuruhkan Nabi itu, aku laksanakan semuanya. Ketika telah selesai haji, Nabi saw. menyuruh Abdurrahman (saudara ' Aisyah) supaya membawa ku pada Malam hasbah untuk mengerjakan umrah dari Tan'im, iaitu akan ganti umrah yang tadinya gagal aku laksanakan."

Hadis Sahih Bukhari No. 0197 Jilid 1 Topik adalah Haid

197. Cerita dari 'Aisyah mengatakan, "Kami berangkat melaksanakan haji, tepat pada permulaan Zulhijjah. Maka bersabda Rasulullah saw., "Barangsiapa yang hendak ihram untuk umrah, silakan ihram! " Kalaulah bukan kerana aku tidak membawa hadya, nescaya aku ihram untuk umrah. Beberapa orang di antara kami ihram untuk umrah sedang yang lainnya ihram untuk haji. Dan aku sendiri' ihram untuk umrah. Maka tibalah hari 'Arafah, dan aku haid. Lalu kuceritakan hal itu kepada Nabi saw. Kata beliau, "Tinggalkanlah umrahmu., buka sanggul kepalamu dan bersisirlah. Kemudian ihramlah untuk haji." Apa yang disuruhkan Nabi itu aku lakukan. Ketika malam hasbah tiba, Nabi saw. menyuruh ku bersama saudara ku Abdurrahman bin Abu Bakar pergi ke Tanaim melakukan ihram untuk umrah pengganti umrah yang tadinya gagal ku laksanakan."

Hadis Sahih Bukhari No. 0198 Jilid 1 Topik adalah Haid

198. Diceritakan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla telah menugaskan pada rahim wanita, seorang malaikat. Dia berkata, "Ya, Tuhan. Ini nuthfah (air mani). Ya, Tuhan. Ini 'alaqah (segumpal darah). Ya, Tuhan, Ini mudhgah (segumpal daging)." Apabila Allah ingin hendak menyempurnakan kejadian itu sempurnalah dia. Malaikat itu bertanya kepada Tuhan', Laki-laki atau perempuan? Malang atau bahagia? ' Apakah rezekinya dan berapa umurnya?" Lalu semuanya itu dituliskan dalam rahim ibunya.

Hadis Sahih Bukhari No. 0199 Jilid 1 Topik adalah Haid

199. Cerita dari Mu'adzah: "Seorang wanita bertanya kepada 'Aisyah, "Cukupkah kami solat apabila kami telah suci tanpa qada?" Jawab 'Aisyah, "Apakah anda termasuk kaum Haruriyah? Kami juga haid dimasa Nabi saw. tetapi Nabi tidak menyuruh kami qadha (membayar) solat yang tertinggal selama haid"

Hadis Sahih Bukhari No. 0200 Jilid 1 Topik adalah Haid

200. Cerita dari 'Aisyah: Fatimah binti Abu Hubaisy bertanya kepada Nabi saw. katanya: "Saya ini istihadhah dan tidak pernah suci. Apakah aku harus menghentikan solat?" Jawab Nabi, "Tidak! Istihadhah itu dari pembuluh-pembuluh darah. Tetapi berhentilah solat beberapa hari, iaitu pada hari-hari biasanya anda haid. Sesudah itu mandilah dan solatlah!"

Hadis Sahih Bukhari No. 0201 Jilid 1 Topik adalah Haid

201. Cerita dari 'Aisyah, isteri Nabi saw.: "Ummu Habibah istihadhah selama 7 tahun. Terus ku tanyakan hal yang demikian kepada Rasulullah saw. Beliau menyuruh supaya Ummu Habibah mandi saja. Kata beliau, "Istihadhah itu dari pembuluh darah." Sejak itu, Ummu Habibah mandi setiap kali akan solat.

Hadis Sahih Bukhari No. 0202 Jilid 1 Topik adalah Haid

202. Cerita dari 'Aisyah,isteri Nabi saw.: "'Aisyah berkata kepada Rasulullah saw. "Ya, Rasulullah! Shaiyah binti Huyay haid." Kata Rasulullah saw., "Kiranya melambatkan kita. Bukankah dia telah tawaf bersama-sama dengan kamu?" Jawab mereka, "Ya!" Kata Nabi, "Nah, berangkatlah!"

Hadis Sahih Bukhari No. 0203 Jilid 1 Topik adalah Haid

203. Cerita dari Samurah bin Jundab, "Ada seorang wanita meninggal kerana melahirkan. Nabi saw. mensolatkan wanita itu, dan beliau berdiri tentang pinggangnya."

Hadis Sahih Bukhari No. 0204 Jilid 1 Topik adalah Haid

204. Maimunah isteri Nabi berkata: "Dia sedang haid, tidak solat. Dia duduk bersimpuh dekat tempat sujud Rasulullah saw. dan beliau sedang solat di atas sejadah beliau. Apabila beliau sujud, maka sebahagian pakaian beliau mengenai tubuhku. "

Sumber: http://www.bankislam.net/Hadis_Sahih_Bukhari/Haid/#ixzz1rNOjrbi4