Kisah seseorang memegang besi panas dengan tangannya



Di sebuah kampung yang kecil, terdapat seorang tukang besi dikenali sebagai Abu al-Yusr. Ketika dia menempa besi untuk menjadikan sesuatu, dia memanaskan besi dengan api kemudian membentuk besi tersebut dengan tangannya tanpa berlapik. Orang ramai yang melihatnya sangat kaget dan hairan, bagaimana dia boleh memegang besi yang sangat panas dan tangannya tidak terbakar atau melecur sedikitpun?


Mereka bertanya, bagaimana dia boleh memegang besi yang panas itu? Dia menjawab, bahawa itu terjadi berkat doa seorang wanita solehah. Lalu dia menceritakan kisahnya dengan panjang lebar. Katanya:

Sewaktu muda dahulu aku menghabiskan usia dengan berniaga. Aku mempunyai sebuah kedai di suatu kampung kecil seperti ini. Kebanyakan penduduknya adalah faqir. Aku pula memiliki harta yang banyak dan perniagaan aku sangat laris.

Jiran aku adalah seorang wanita cantik. Dia sangat miskin dan hidupnya susah. Suatu hari, dia datang ke kedaiku untuk meminjam wang buat membeli makanan. Aku bersetuju untuk memberikan apa yang dia minta dengan syarat dia membenarkan aku menidurinya. Lantas diapun berkata "kalau itu syaratnya, tidak mengapa, aku sanggup berlapar"

Pergilah dia mencari seseorang yang boleh menolongnya. Beberapa hari berlalu, tidak ada juga insan yang mampu menolongnya. Dia kembali semula kepadaku dalam keadaan yang amat menyedihkan, dan berkata "sudah beberapa hari aku tidak makan, berikan aku sedikit wang demi engkau mendapatkan keredhaan Allah" namun aku tetap meletakkan syarat yang sama. Dia tetap menolak syaratku dan pulang dalam keadaan hampa.

Apabila keadaan bertambah mendesak, dia datang sekali lagi merayu-rayu meminta tolong dan berkata "berikan aku sedikit wang demi engkau mendapatkan keredhaan Allah" lalu aku sangat terharu akan sikap perempuan itu dan berkata "Engkau dalam keadaan yang sangat lapar namun engkau tetap dapat menahan nafsumu, sedangkan aku dalam keadaan kenyang dan tidak dapat menahan nafsuku, demi keredhaan Allah, ambillah apa yang engkau inginkan"

Tak terkira gembiranya dia. Dengan segera dia mengangkat tangan ke langit dan berdoa, “Ya Allah, ya Tuhanku! Jika dia benar ingin mendapatkan keredhaanMu maka Haramkan ke atasnya api di dunia dan akhirat!”

Kemudian dia mengambil sekadar memenuhi keperluannya dan terus keluar.

Berkat doa perempuan solehah itu Abu al-Yusr diharamkan olehnya api didunia dan akhirat.